Thursday, January 24, 2019

Siaran Media - MEMARTABATKAN JERAM SEBAGAI PENEMPATAN UNGGUL DAN BERSEJARAH DI SELANGOR


JERAM, 24 Jan - Sejarah tanah air umumnya sering dikaitkan dengan zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Antara lima daerah dalam negeri Selangor yang disebut dalam sejarah pada zaman tersebut ialah Kelang, Jeram, Jugra, Morib dan Selangor yang merujuk kepada Kuala Selangor. Justeru sejarah Melaka tidak lengkap sekiranya sejarah Selangor tidak dilestarikan bersama.

Namun dewasa ini, generasi anak jati Selangor dan pemastautin rata-ratanya tidak dapat mengaitkan Selangor sebagai negeri istimewa yang mempunyai sejarah kegemilangan tersendiri. Menyedari hakikat itu, Pertubuhan Warisan Islam Selangor, atau PERSIS ditubuhkan bagi memenuhi aspirasi penggiat dan pencinta sejarah serta warisan di negeri ini, dalam usaha melestari dan mendokumentasi warisan sejarah, sama ada di dalam atau luar negeri yang berhubung kait dengan Selangor.

Ditubuhkan secara rasminya pada 23 November 2018, PERSIS dalam perancangan untuk mewujudkan ruang kerjasama dengan pelbagai pihak, untuk memelihara warisan untuk kepentingan generasi hari ini dan akan datang.

Malah kaedah penghayatan terhadap sejarah tempatan secara mikro, akan lebih mengangkat budaya, warisan dan memperkasa jati diri anak Selangor, sekali gus melahirkan generasi celik sejarah. Untuk merealisasikannya, PERSIS akan memulakan usaha memartabatkan daerah Jeram, sebagai penempatan unggul dan bersejarah di negeri ini. Ia berikutan daerah Jeram dahulunya berperanan sebagai pelabuhan yang kini sudah hilang kerana perubahan landskap pantai. Justeru PERSIS melihat sejarah ini perlu diangkat semula dengan penulisan dan pendokumentasian agar ia tidak hilang ditelan zaman dan juga dari perubahan fizikal dan fiskal.

Malah penemuan beberapa tapak bersejarah di sekitar daerah Jeram dan Pantai Remis juga tidak diketahui umum, dan bakal hilang dengan perginya generasi tua pada hari ini. Antaranya Makam Tok Hussein dan batu-batu nisan berusia kira-kira 700 tahun milik peneroka awal masyarakat Bugis, serta kesan penempatan masyarakat Cina yang ada kaitan dengan sejarah awal Kesultanan Melaka.

Antara aktiviti yang pernah dijalankan PERSIS ialah:

  1. Jejak Sejarah Selangor Siri I, yang meliputi Kota Bukit Malawati dan Kota Tanjung Keramat pada 7 Februari, 2015.
  2. Kunjungan hormat ke rumah Tokoh Sejarah Kuala Selangor, Allahyarham Dato Dr Yusoff Hasan pada 29 September, 2015.
  3. Recce Jeram, iaitu sebagai persediaan awal Program Eksplorasi Jeram, pada 29 Julai, 2018.


Membuka keahlian kepada warga Selangor berusia 18 tahun ke atas, PERSIS merancang beberapa aktiviti sepanjang 2019, dengan fokus utama kepada melestarikan warisan di Jeram, antaranya :

  1. Bangunan Pejabat Pos lama Jeram
  2. Bangunan sekolah lama Batu 20, Jeram
  3. Perkuburan lama Jeram
  4. Makam Keramat Husin dan keluarga
  5. Kunci air lama Jeram
  6. Jalan keretapi lama Jeram
  7. Bukit Jeram


PERSIS juga merancang mengadakan program, seminar dan wacana ilmiah seperti berikut:

  1. Karnival Warisan Sejarah dan Kebudayaan Jeram 2019.
  2. Majlis Pelancaran dan Hi Tea bersama pihak-pihak berkepentingan di Jeram.
  3. Explorasi warisan Jeram pada bulan Ogos 2019, bersempena dengan bulan kemerdekaan.
  4. Bedah buku “Sejarah Jeram”.
  5. Forum “Pengkisahan Sejarah Jeram”.
  6. Lawatan kerja Jejak Selangor di Makassar.


Bagi mencapai hasrat tersebut, PERSIS berharap hubungan dan rangkaian kerjasama dengan pihak Istana Selangor, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor khususnya dapat dijalankan secara lebih holistik, terutamantya dalam mempermudah gerak kerja PERSIS menerusi pelbagai program pada masa akan datang.

Semoga wadah ini menjadi wahana untuk menanamkan minat dan kecenderungan generasi muda dalam menghargai sejarah tanah air, seterusnya merasa tanggungjawab untuk mengangkat persada kampung halaman dan negeri di mata anak watannya.

“PENYAMBUNG WARISAN”

Fatkurradzi Bin Jamil
Pengerusi
Pertubuhan Warisan Islam Selangor (PERSIS)

No comments:

Post a Comment