Thursday, January 17, 2019

Retreat Pertama PERSIS - Ucaptama Pengerusi Majlis Penasihat 2018/20


Berikut adalah intipati ucaptama Pengerusi Majlis Penasihat PERSIS sesi 2018/20 iaitu Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor sewaktu program Retreat Pertama PERSIS yang telah diadakan pada hari Ahad, 13 hb Januari 2019 di Surau Haji Yusof Jeram. 

Pengerusi Majlis Penasihat (kanan) dan Pengerusi (kiri) PERSIS 2018/20

Retreat pertama PERTUBUHAN WARISAN ISLAM SELANGOR (PERSIS)

Dalam ucapan sebagai penasihat kepada PERSIS saya mengunjurkan gagasan untuk mengangkat budaya, warisan dan sejarah negeri Selangor khasnya bagi memperkasa jatidiri anak anak Selangor dan warga pemastautin di Selangor. Sebagai sebuah negeri termaju dan menempatkan Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan pusat di persada negeri Selangor maka wajarlah sudut sudut budaya, warisan dan sejarah dipulihara agar lestari. Inilah yang memberi makna kepada kemajuan unik sesebuah peradaban atau umran (peradaban madani). 

Selangor adalah penempatan awal yang bukan sahaja menjadi 'outpost' bahkan 'gateway' kepada Melaka. Tidak sukar untuk menginsafi hakikat ini jika ditilik kepada kedudukan Kelang, Jeram, Jugra dan Selangor (Kuala Selangor) dari perspektif Sejarah Kesultanan Melaka.  Begitu banyak kearifan tempatan (local wisdom) yang perlu didokumen dan diberikan makna yang relevan kepada kebangunan dan kemakmuran negeri. Jeram sebagai satu penempatan unggul dan awal di Selangor umpamanya perlu di berikan naratif yang segar. 

Apa maknanya apabila Sultan Mansur Syah mewakilkan putera baginda bersama Puteri Hang Li Poh di Jeram. Bagaimana dengan peranan Jeram sebagai pelabuhan yang kini sudah hilang luput kerana perubahan lanskap pantai dan fungsi. Semuanya perlu ditimbulkan dengan penulisan dan pendokumentasian agar ia tidak hilang luput ditelan zaman dan perubahan fizikal dan fiskal (sosio-ekonomi). 

Bagaimana dengan peranan dan kebangunan islam dari bibit awal hingga kini. Ulama dan mubaligh seperti Syeikh Hj Hussein yang kuburnya kini sepi dan dilupakan di dalam sebuah ladang kelapa sawit. Bagaimana dengan komuniti awal dari Jawa, Makassar dan Banjar yang berhijrah dan memakmurkan negeri Selangor dengan bendang dan lahannya. Bagaimana dengan tradisi lisan yang masih tersimpan dalam memori orang orang lama yang perlu dirakam untuk kelestarian naratif agar tidak hilang dengan hilangnya penyimpan penyimpan riwayat. 

Inilah tanggungjawab generasi hari ini dan pasti ia mengangkat persada kampung halaman dan negeri di mata anak anak watannya sendiri. Dengan melestarikan naratif dan mengangkat kearifan lokal akan lebih gemersiklah slogan 'AKULAH PENYAMBUNG WARISAN'

Majlis Penasihat & EXCO PERSIS 2018/20

No comments:

Post a Comment