Wednesday, January 23, 2019

Kenyataan Media - Pertukaran Nama Bangsar South Kepada Nama Asal Kampung Kerinchi


Berita tentang pertukaran nama ini boleh diakses di URL - https://m.malaysiakini.com/news/460926


KENYATAAN MEDIA

PERTUBUHAN WARISAN ISLAM SELANGOR (PERSIS) MENGALU ALUKAN PERTUKARAN NAMA BANGSAR SOUTH KEPADA NAMA ASAL KAMPUNG KERINCHI

JERAM, 20 Jan - Tahniah diucapkan kepada penduduk Kampung Kerinchi kerana perjuangan mereka selama ini untuk mengembalikan nama asal kampung bersejarah tersebut telah mendatangkan hasil. Dengan pengumuman yang dibuat oleh ahli Parlimen Lembah Pantai YB Fahmi Fadzil pada hari Sabtu, 19 Januari 2019, Bangsar South dinamakan kembali sebagai Kampung Kerinchi. 

PERSIS menyanjung perkembangan ini sebagai satu kejayaan untuk melestarikan warisan dan sejarah setempat. Kampung Kerinchi mempunyai sejarah yang panjang semenjak kurun ke 18 apabila ia mula diteroka oleh penduduk yang berhijrah dari Sumatera seperti Jambi, Riau, Sumatera Barat dan pelbagai daerah lain. Kampung Kerinchi telah dibuka secara rasminya oleh seorang tokoh Kampung Kerinchi sendiri iaitu Haji Abdullah Bin Ahmad sekitar akhir kurun ke 19.

Inisiatif untuk mengembalikan nama asal Kampung Kerinchi adalah satu langkah maju ke hadapan untuk memulihara warisan setempat yang melambangkan jatidiri rakyat Malaysia.

Nama asal sesebuah tempat adalah warisan yang harus dipertahankan. Sebagai contoh, di Amerika dan Eropah nama tempat seperti 'ville' dan 'shire' yang merupakan daerah pentadbiran tradisi lingkungan masyarakat tani dikekalkan sehingga hari ini.

PERSIS akan terus menyokong usaha untuk melestarikan warisan Malaysia dan sedia bekerjasama untuk memulihara tapak tapak warisan dan bersejarah negara ini khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

PERSIS juga mengalu-alukan pihak pemaju merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Sejarah Malaysia dan pihak-pihak lain yang wajar seperti yang lazim dilakukan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan Kerajaan Tempatan, sebelum mewartakan nama sesuatu tempat agar tidak bercanggah dengan warisan dan citarasa Malaysia.


“Penyambung Warisan”

Fatkurradzi Bin Jamil
Pengerusi
Pertubuhan Warisan Islam Selangor (PERSIS)

Pengerusi PERSIS - Tuan Fatkurradzi Jamil


No comments:

Post a Comment