Thursday, January 24, 2019

Siaran Media - MEMARTABATKAN JERAM SEBAGAI PENEMPATAN UNGGUL DAN BERSEJARAH DI SELANGOR


JERAM, 24 Jan - Sejarah tanah air umumnya sering dikaitkan dengan zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Antara lima daerah dalam negeri Selangor yang disebut dalam sejarah pada zaman tersebut ialah Kelang, Jeram, Jugra, Morib dan Selangor yang merujuk kepada Kuala Selangor. Justeru sejarah Melaka tidak lengkap sekiranya sejarah Selangor tidak dilestarikan bersama.

Namun dewasa ini, generasi anak jati Selangor dan pemastautin rata-ratanya tidak dapat mengaitkan Selangor sebagai negeri istimewa yang mempunyai sejarah kegemilangan tersendiri. Menyedari hakikat itu, Pertubuhan Warisan Islam Selangor, atau PERSIS ditubuhkan bagi memenuhi aspirasi penggiat dan pencinta sejarah serta warisan di negeri ini, dalam usaha melestari dan mendokumentasi warisan sejarah, sama ada di dalam atau luar negeri yang berhubung kait dengan Selangor.

Ditubuhkan secara rasminya pada 23 November 2018, PERSIS dalam perancangan untuk mewujudkan ruang kerjasama dengan pelbagai pihak, untuk memelihara warisan untuk kepentingan generasi hari ini dan akan datang.

Malah kaedah penghayatan terhadap sejarah tempatan secara mikro, akan lebih mengangkat budaya, warisan dan memperkasa jati diri anak Selangor, sekali gus melahirkan generasi celik sejarah. Untuk merealisasikannya, PERSIS akan memulakan usaha memartabatkan daerah Jeram, sebagai penempatan unggul dan bersejarah di negeri ini. Ia berikutan daerah Jeram dahulunya berperanan sebagai pelabuhan yang kini sudah hilang kerana perubahan landskap pantai. Justeru PERSIS melihat sejarah ini perlu diangkat semula dengan penulisan dan pendokumentasian agar ia tidak hilang ditelan zaman dan juga dari perubahan fizikal dan fiskal.

Malah penemuan beberapa tapak bersejarah di sekitar daerah Jeram dan Pantai Remis juga tidak diketahui umum, dan bakal hilang dengan perginya generasi tua pada hari ini. Antaranya Makam Tok Hussein dan batu-batu nisan berusia kira-kira 700 tahun milik peneroka awal masyarakat Bugis, serta kesan penempatan masyarakat Cina yang ada kaitan dengan sejarah awal Kesultanan Melaka.

Antara aktiviti yang pernah dijalankan PERSIS ialah:

  1. Jejak Sejarah Selangor Siri I, yang meliputi Kota Bukit Malawati dan Kota Tanjung Keramat pada 7 Februari, 2015.
  2. Kunjungan hormat ke rumah Tokoh Sejarah Kuala Selangor, Allahyarham Dato Dr Yusoff Hasan pada 29 September, 2015.
  3. Recce Jeram, iaitu sebagai persediaan awal Program Eksplorasi Jeram, pada 29 Julai, 2018.


Membuka keahlian kepada warga Selangor berusia 18 tahun ke atas, PERSIS merancang beberapa aktiviti sepanjang 2019, dengan fokus utama kepada melestarikan warisan di Jeram, antaranya :

  1. Bangunan Pejabat Pos lama Jeram
  2. Bangunan sekolah lama Batu 20, Jeram
  3. Perkuburan lama Jeram
  4. Makam Keramat Husin dan keluarga
  5. Kunci air lama Jeram
  6. Jalan keretapi lama Jeram
  7. Bukit Jeram


PERSIS juga merancang mengadakan program, seminar dan wacana ilmiah seperti berikut:

  1. Karnival Warisan Sejarah dan Kebudayaan Jeram 2019.
  2. Majlis Pelancaran dan Hi Tea bersama pihak-pihak berkepentingan di Jeram.
  3. Explorasi warisan Jeram pada bulan Ogos 2019, bersempena dengan bulan kemerdekaan.
  4. Bedah buku “Sejarah Jeram”.
  5. Forum “Pengkisahan Sejarah Jeram”.
  6. Lawatan kerja Jejak Selangor di Makassar.


Bagi mencapai hasrat tersebut, PERSIS berharap hubungan dan rangkaian kerjasama dengan pihak Istana Selangor, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor khususnya dapat dijalankan secara lebih holistik, terutamantya dalam mempermudah gerak kerja PERSIS menerusi pelbagai program pada masa akan datang.

Semoga wadah ini menjadi wahana untuk menanamkan minat dan kecenderungan generasi muda dalam menghargai sejarah tanah air, seterusnya merasa tanggungjawab untuk mengangkat persada kampung halaman dan negeri di mata anak watannya.

“PENYAMBUNG WARISAN”

Fatkurradzi Bin Jamil
Pengerusi
Pertubuhan Warisan Islam Selangor (PERSIS)

Wednesday, January 23, 2019

Kenyataan Media - Pertukaran Nama Bangsar South Kepada Nama Asal Kampung Kerinchi


Berita tentang pertukaran nama ini boleh diakses di URL - https://m.malaysiakini.com/news/460926


KENYATAAN MEDIA

PERTUBUHAN WARISAN ISLAM SELANGOR (PERSIS) MENGALU ALUKAN PERTUKARAN NAMA BANGSAR SOUTH KEPADA NAMA ASAL KAMPUNG KERINCHI

JERAM, 20 Jan - Tahniah diucapkan kepada penduduk Kampung Kerinchi kerana perjuangan mereka selama ini untuk mengembalikan nama asal kampung bersejarah tersebut telah mendatangkan hasil. Dengan pengumuman yang dibuat oleh ahli Parlimen Lembah Pantai YB Fahmi Fadzil pada hari Sabtu, 19 Januari 2019, Bangsar South dinamakan kembali sebagai Kampung Kerinchi. 

PERSIS menyanjung perkembangan ini sebagai satu kejayaan untuk melestarikan warisan dan sejarah setempat. Kampung Kerinchi mempunyai sejarah yang panjang semenjak kurun ke 18 apabila ia mula diteroka oleh penduduk yang berhijrah dari Sumatera seperti Jambi, Riau, Sumatera Barat dan pelbagai daerah lain. Kampung Kerinchi telah dibuka secara rasminya oleh seorang tokoh Kampung Kerinchi sendiri iaitu Haji Abdullah Bin Ahmad sekitar akhir kurun ke 19.

Inisiatif untuk mengembalikan nama asal Kampung Kerinchi adalah satu langkah maju ke hadapan untuk memulihara warisan setempat yang melambangkan jatidiri rakyat Malaysia.

Nama asal sesebuah tempat adalah warisan yang harus dipertahankan. Sebagai contoh, di Amerika dan Eropah nama tempat seperti 'ville' dan 'shire' yang merupakan daerah pentadbiran tradisi lingkungan masyarakat tani dikekalkan sehingga hari ini.

PERSIS akan terus menyokong usaha untuk melestarikan warisan Malaysia dan sedia bekerjasama untuk memulihara tapak tapak warisan dan bersejarah negara ini khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

PERSIS juga mengalu-alukan pihak pemaju merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Sejarah Malaysia dan pihak-pihak lain yang wajar seperti yang lazim dilakukan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan Kerajaan Tempatan, sebelum mewartakan nama sesuatu tempat agar tidak bercanggah dengan warisan dan citarasa Malaysia.


“Penyambung Warisan”

Fatkurradzi Bin Jamil
Pengerusi
Pertubuhan Warisan Islam Selangor (PERSIS)

Pengerusi PERSIS - Tuan Fatkurradzi Jamil


Thursday, January 17, 2019

Retreat Pertama PERSIS - Ucaptama Pengerusi Majlis Penasihat 2018/20


Berikut adalah intipati ucaptama Pengerusi Majlis Penasihat PERSIS sesi 2018/20 iaitu Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor sewaktu program Retreat Pertama PERSIS yang telah diadakan pada hari Ahad, 13 hb Januari 2019 di Surau Haji Yusof Jeram. 

Pengerusi Majlis Penasihat (kanan) dan Pengerusi (kiri) PERSIS 2018/20

Retreat pertama PERTUBUHAN WARISAN ISLAM SELANGOR (PERSIS)

Dalam ucapan sebagai penasihat kepada PERSIS saya mengunjurkan gagasan untuk mengangkat budaya, warisan dan sejarah negeri Selangor khasnya bagi memperkasa jatidiri anak anak Selangor dan warga pemastautin di Selangor. Sebagai sebuah negeri termaju dan menempatkan Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan pusat di persada negeri Selangor maka wajarlah sudut sudut budaya, warisan dan sejarah dipulihara agar lestari. Inilah yang memberi makna kepada kemajuan unik sesebuah peradaban atau umran (peradaban madani). 

Selangor adalah penempatan awal yang bukan sahaja menjadi 'outpost' bahkan 'gateway' kepada Melaka. Tidak sukar untuk menginsafi hakikat ini jika ditilik kepada kedudukan Kelang, Jeram, Jugra dan Selangor (Kuala Selangor) dari perspektif Sejarah Kesultanan Melaka.  Begitu banyak kearifan tempatan (local wisdom) yang perlu didokumen dan diberikan makna yang relevan kepada kebangunan dan kemakmuran negeri. Jeram sebagai satu penempatan unggul dan awal di Selangor umpamanya perlu di berikan naratif yang segar. 

Apa maknanya apabila Sultan Mansur Syah mewakilkan putera baginda bersama Puteri Hang Li Poh di Jeram. Bagaimana dengan peranan Jeram sebagai pelabuhan yang kini sudah hilang luput kerana perubahan lanskap pantai dan fungsi. Semuanya perlu ditimbulkan dengan penulisan dan pendokumentasian agar ia tidak hilang luput ditelan zaman dan perubahan fizikal dan fiskal (sosio-ekonomi). 

Bagaimana dengan peranan dan kebangunan islam dari bibit awal hingga kini. Ulama dan mubaligh seperti Syeikh Hj Hussein yang kuburnya kini sepi dan dilupakan di dalam sebuah ladang kelapa sawit. Bagaimana dengan komuniti awal dari Jawa, Makassar dan Banjar yang berhijrah dan memakmurkan negeri Selangor dengan bendang dan lahannya. Bagaimana dengan tradisi lisan yang masih tersimpan dalam memori orang orang lama yang perlu dirakam untuk kelestarian naratif agar tidak hilang dengan hilangnya penyimpan penyimpan riwayat. 

Inilah tanggungjawab generasi hari ini dan pasti ia mengangkat persada kampung halaman dan negeri di mata anak anak watannya sendiri. Dengan melestarikan naratif dan mengangkat kearifan lokal akan lebih gemersiklah slogan 'AKULAH PENYAMBUNG WARISAN'

Majlis Penasihat & EXCO PERSIS 2018/20

Sunday, December 16, 2018

Keterangan Logo PERSIS


Keterangan Logo PERSIS

LOGO PERSIS


  • Warna Putih melambangkan keluhuran dan kesucian niat.
  • Warna Biru muda melambangkan semangat, kerjasama dan perpaduan.
  • Meriam dua buah melambangkan semangat juang yang tidak berbelah bagi.
  • Warna Hitam melambangkan kesatuan dalam memartabatkn warisan.
  • Warna Merah dan Kuning melambangkan Negeri Selangor iaitu negeri pertama penjelajahan warisan dimulakan.
  • Rumah api melambangkan rumah api di Bukit Malawati yang terdapat dalam sejarah awal Negeri Selangor dan ianya mercu tanda yang memberi petunjuk bagi pelaut di lautan. Seumpama simbol petunjuk bagi pengkaji warisan.


Bermulanya Laman Rasmi Blog PERSIS - 16hb Disember 2018


SALAM kepada semua!

Pada hari ini, AHAD 16hb Disember 2018 laman blog ini yang merupakan Laman Blog Rasmi Pertubuhan Warisan Islam Selangor atau ringkasnya PERSIS.

Pendaftaran PERSIS telah diluluskan oleh ROS (Pendaftar Pertubuhan Malaysia) pada 23hb November 2018 di hari Jumaat yang mulia.


Sijil Pendaftaran ROS PERSIS

PERSIS mempunyai TIGA matlamat seperti berikut:

  • Mencari, menyelidik, memelihara, memulihara, mendokumentasi dan menjaga warisan sejarah Islam Selangor, samada ianya berada di dalam atau luar Selangor.
  • Mendokumentasi warisan sejarah Islam Selangor.
  • Mendidik masyarakat tentang kepentingan mencari, menyelidik, memelihara, memulihara, mendokumentasi dan menjaga warisan sejarah Islam Selangor.


Semoga PERSIS berjaya dengan matlamatnya, sukses dengan pelbagai program dan aktiviti dan dapat memberi manafaat kepada warga Negeri SELANGOR Darul Ehsan khususnya dan warga Nusantara MELAYU amnya.